Selamat Datang Ke Laman Blog Kampung Wakaf Chagak

Gasing

PERATURAN (I) –
PERALATAN PERMAINAN


FASAL 1 – GASING

1.1. Gasing hendaklah diperbuat daripada kayu keras dan kukuh. Biasanya diperbuat daripada KAYU PENAGA atau RHU.
1.2. Gasing-gasing yang dipertandingkan hendaklah daripada jenis kayu yang sama, gasing kayu PENAGA dilawan dengan gasing kayu PENAGA atau gasing kayu RHU dilawan dengan gasing kayu RHU. TIDAK BOLEH gasing kayu PENAGA dilawan dengan gasing kayu RHU, KECUALI mendapat persetujuan kedua-dua pasukan.
1.3. Bentuk tubuh gasing adalah bulat, leper dan mempunyai kepala, tumbung dan paksi.
1.4. Logam timah sahaja dibenarkan kelihatan pada bahagian sisi gasing.
1.5. Lilitan tubuh gasing di bahagian tengah adalah terdiri tiga (3) saiz :-
i. 19 inci atau 48 sentimeter
ii. 19 ½ inci atau 49.3 sentimeter dan
iii. 20 inci atau 50.6 sentimeter.
1.6. Tinggi atau tebal gasing adalah bebas.
1.7. Berat setiap gasing tidak melebihi 2 kilogram.
1.8. Jika berlaku PERBEZAAN gasing antara kedua-dua seperti di FASAL 1.5.i, 1.5.ii, 1.5.iii. dan FASAL 1.7 di atas kedua-dua pasukan boleh membuat keputusan sesudah berunding sesama mereka dan dapat persetujuan pihak pengadil.

FASAL 2 – TALIGASING

2.1. Taligasing hendaklah sesuai dan tidak membahayakan.

FASAL 3 – KAYU PENYOKOK


3.1. Penyokok hendaklah diperbuat daripada kayu dan mudah digunakan.


FASAL 4 – PINGGAN

4.1. Pinggan gasing hendaklah dari jenis kaca atau tembikar yang keras.


PERATURAN (II) –
MEDAN / GELANGGANG


FASAL 5 – MEDAN / GELANGGANG PERMAINAN

5.1. Medan atau gelanggang permainan hendaklah bulat yang berukuran garispusat kira-kira 40 kaki atau 12 meter.


FASAL 6 – BULATAN PUSINGAN

6.1. Bulatan pusingan hendaklah di tengah medan atau gelanggang yang bergarispusat 2 kaki atau 60 sentimeter.

FASAL 7 – KAWASAN JERKAH / SERGAH

7.1. Kawasan jerkah atau sergah hendaklah bergarispusat 6 kaki atau 1.83 meter.
7.2. Garisan jerkah atau sergah TIDAK BOLEH DIPIJAK sama sekali sewaktu membuat jerkahan atau sergahan. Jika mana-mana pemain dari pasukan pemusing terpijak garisan atau berada dalam kawasan bulatan berkenaan, pemain tersebut jelas telah melaku
kan kesalahan dan pusingan tersebut DIBATALKAN serta-merta.
7.3. Jika kesalahan berlaku pada pusingan KEMUDI, pasukan pemangkah dikira MENANG PERCUMA satu (1) embat. Jika bukan pada pusingan kemudi, pasukan pemangkah dibenarkan menyimpan uri gasingnya.


FASAL 8 – GARISAN -GARISAN

8.1. Garisan bulatan gelanggang / medan permainan hendaklah jelas kelihatan berwarna PUTIH. Bulatan boleh digunakan kapur tulis atau debu gandum.
8.2. Semua garisan diukur daripada tepi bahagian luar bulatan.
8.3. SENTUHAN paksi di atas garisan sergahan dikira batal. Manakala bagi gasing yang dipusing di dalam bulatan, sentuhan paksi kepada garisan bulatan pusingan dikira sebagai dalam bulatan.

FASAL 9 - KUBU GASING / RUMAH URI

9.1. Kubu gasing berupa busut atau pusu buatan daripada tanah dikenali sebagai rumah uri atau kubu gasing ialah tempat letak gasing berlawan uri atau alek pusingan.
9.2. Kubu gasing hendaklah berada di dalam kawasan pasukan itu sendiri dan berada di luar medan atau gelanggang permainan.
9.3. Kubu gasing boleh diubah mengikut kemahuan pasukan berkenaan tetapi tidak boleh berada dalam pasukan lawan.
9.4. Sewaktu pusingan lawan alek atau pusingan gasing, garisan untuk wakil pemain pasukan lawan melihat gasing tersebut mesti berada di jarak tidak kurang 15 kaki atau 4.5 meter dari kubu gasing.
9.5. Kubu-kubu atau penutup kubu gasing hanya dibenar buka tidak kurang 2 ruang atau 2 tapang sahaja bagi memudah penonton atau pemain-pemain melihat pusingan gasing di dalam kubu dengan izin PENGADIL.




PERATURAN (III) –
PEMAIN


FASAL 10 – PENDAFTARAN PEMAIN-PEMAIN

10.1. Pemain-pemain hendaklah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang berfikiran normal dan tidak mempunyai penyakit yang membahayakan orangramai.
10.2. Semua pemain diwajibkan mendaftar nama beserta nombor Kad Pengenalan mengikut peraturan yang disediakan oleh pihak penganjur sebelum tarikh tutup penerimaan borang dari setiap pasukan.
10.3. Setiap pemain hanya layak bermain untuk satu pasukan sahaja.
10.4. Senarai lengkap pemain hendaklah diserahkan kepada ketua pengadil pada setiap kali perlawanan; sebelum pengundian penentuan medan dijalankan. Nama-nama pemain mestilah sama dengan senarai pendaftaran kejohanan. Jika ada perubahan (bagi kurang 25 orang pemain) satu salinan baru mesti diberi kepada urusetia penganjur sebelum perlawanan bermula.
10.4. Mereka yang berdaftar sebagai pemain sahaja dibenar masuk atau berada di kawasan gelanggang atau medan permainan.
10.5. Setiap pasukan dibenar mendaftar tidak lebih tiga (3) orang sebagai pemain impot atau pemain luar dari kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Rakit.


FASAL 11 – KERAMAIAN PEMAIN


11.1. Setiap pasukan dibenarkan mendaftar pemain antara 10 hingga 25 orang termasuk Ketua, Timblan Ketua, Setiausaha, Pengurus dan Bendahari.
11.2. Semasa perlawanan berjalan, setiap pasukan hanya dibenarkan membawa masuk pemain ke dalam gelanggang tidak melebihi 10 orang yang terdiri 8 orang penyokok, 1 orang pemusing atau pemangkah dan 1 orang pembantu pemusing atau pembantu pemangkah.
11.3. Pemain boleh ditukar sebelum satu-satu perlawanan bermula tetapi tidak dibenar selepas NAGAM PERTAMA dimulakan.
11.4. Semua pemain hendaklah berpakaian kemas; jika boleh berpakaian seragam.
11.5. Pengenalan sebagai Ketua Pasukan hendaklah dipakai suatu tanda supaya jelas ada perbezaan dengan pemain lain.

PERATURAN (IV) –
PERLAWANAN


FASAL 12 – CARA PERMAINAN

12.1. Semua perlawanan dijalankan secara liga mengikut satu pusingan.
12.2. Pihak penganjur boleh mengubahsuai bentuk perlawanan kepada satu kumpulan, dua kumpulan, tiga kumpulan atau empat kumpulan.
12.3. Penganjur boleh mengadakan perlawanan sistem kalahmati atau lain-lain cara dengan persetujuan semua pasukan.


FASAL 13 – PENAIK ATAU NAGAM

13.1. Setiap penaik atau nagam dibahagi kepada 3 bahagian atau pangkahan gasing dengan 3 jenis saiz gasing yang berlainan dengan kebenaran kedua-dua pasukan :-
i. Bahagian Haluan - Dahulu
ii. Bahagian Menekak - Tengah
iii. Bahagian Kemudi - Akhir
13.2. Tidak ada saiz gasing yang sama di dalam mana-mana dua bahagian bagi satu-satu nagam.
13.3. Penentuan saiz gasing bagi setiap bahagian hendaklah dibuat terlebih dahulu sebelum memulakan nagam yang baru.
13.4. Setelah penentuan atau pertaruhan gasing dibuat dan pangkahan haluan dijalankan, saiz gasing tidak boleh lagi ditukarkan.
13.5. Saiz gasing hanya boleh ditukar dalam nagam yang berikutnya dan pasukan yang memusing sahaja diberi kebenaran menentukan saiz gasing yang dipertaruhkan.

FASAL 14 – UNDIAN PERLAWANAN


14.1. Undian perlawanan akan dijalankan oleh pengadil sebelum satu-satu perlawanan dimulakan.
14.2. Undian bagi menentukan pasukan mana yang MEMANGKAH DAHULU akan dijalankan sebelum permainan dimulakan dan sebaik sahaja acara BERADU GASING selesai.
14.3. Jika undian dijalankan dengan cara melambung duit syiling, pasukan yang MENANG UNDIAN akan diberi kuasa memilih untuk MEMANGKAH atau MEMUSING dahulu.
14.4. Pasukan yang MEMANGKAH DAHULU dikehendaki membuat KEDUDUKAN GARISAN LINTANG gelanggang dan pihak pasukan MEMUSING dikehendaki MEMILIH kedudukan KAWASAN untuk pasukannya termasuk arah letak KUBU.


FASAL 15 – BERADU GASING

15.1. Beradu gasing atau adu gasing ialah MENGUKUR LILITAN tubuh gasing dan menimbang berat gasing perlu dilakukan oleh pengadil sebelum satu-satu perlawanan bermula.


FASAL 16 – PENETAPAN SAIZ GASING

16.1. Penetapan SAIZ GASING bagi setiap bahagian haluan, menekak dan kemudi akan ditentukan oleh PASUKAN yang akan MEMUSING sebelum satu-satu nagam bermula.
16.2. Setelah GABUSAN PERTAMA bermula bagi satu-satu nagam, saiz-saiz gasing tidak boleh ditukar atau dipinda.

FASAL 17 – MASA PERMAINAN


17.1. Setiap PERMAINAN bermula jam 8.00 pagi dan tamat pada jam 3.30 petang; kecuali dengan kebenaran pengadil atau penganjur disebabkan sesuatu hal yang lebih penting.
17.2. Masa REHAT adalah 30 minit selepas jam 1.30 tengahari. Jika kedua-dua pasukan bersetuju masa pemainan diteruskan, masa rehat boleh ditiadakan.
17.3. Jika pada jam 1.30 tengahari, bahagian menekak atau bahagian kemudi atau uri gasing masih berlegai (berlawan alek) sedang berjalan, maka waktu rehat 30 minit akan dikira selepas tamat pusingan alek oleh pengadil perlawanan.
17.4. Sekiranya masa bergabus untuk pangkahan awal bagi memulakan nagam yang baru atau selepas jam 1.15 tengahari, maka waktu rehat boleh bermula dari masa tersebut.
17.5. Masa persediaan NAGAM PERTAMA ialah 15 minit bermula dari masa pemilihan gelanggang dibuat.
17.6. Selangmasa antara setiap bahagian dalam satu-satu nagam ialah :-
i. Bahagian Haluan ke Menekak - 4 minit
ii. Bahagian Menekak ke Kemudi - 5 minit
iii.Bahagian Kemudi ke Nagam Baru - 6 minit
17.7. Permulaan masa SELANGMASA di antara Bahagian-Bahagian ialah :-
i. Bagi Bahagian Haluan ke Menekak dan Menekak ke Kemudi, masanya bermula dari saat GASING beruri terakhir DINAIKKAN KE ATAS PINGGAN untuk dibawa ke KUBU.
ii. Bagi Bahagian Kemudi ke Nagam yang berikutnya, masanya bermula dari SAAT mana-mana GASING yang sedang berlegai uri MATI DAHULU.
17.8. Tamat perlawanan keseluruhannya pada jam 3.30 petang. Syarat-syarat berikut perlu dipatuhi. :-
i. Jika masa berlegai uri tamat sebelum jam 3.30 petang, permainan hari itu AKAN DITERUSKAN dengan nagam lagi.
ii. Jika masa berlegai uri tamat pada atau selepas 3.30 petang, maka perlawanan pada hari itu dikira BERAKHIR.
17.9. Masa untuk MEMBAIKI kerosakan GASING hanya dibenarkan tidak melebihi 10 minit bagu satu-satu nagam.


FASAL 18 – BERGABUS


18.1. Pemangkah diwajibkan masuk ke gelanggang serta-merta sebaik sahaja dipanggil oleh pengadil pertandingan. Pemangkah sahaja yang berhak membawa gasing masuk ke dalam gelanggang; kecuali dibenarkan oleh pengadil, pemain lain boleh membawa gasing masuk ke gelanggang.
18.2. Pemangkah akan diberi masa selama 3 minit untuk bergabus di Bahagian Haluan; 4 minit untuk bergabus di Bahagian Menekak dan 5 minit untuk bergabus di Bahagian Kemudi.
18.3. Pemangkah boleh meminta pengadil memanggil pemusing keluar untuk memusing gasing walaupun masa bergabus masih ada.
18.4. Dalam masa bergabus, pemangkah dibenarkan menukar tali mengikut kemahuannya untuk bergabus. Tetapi jika masa bergabus tamat, penukaran tali dibenarkan sahaja dan tidak dibenarkan untuk bergabus lagi.
18.5. Pemangkah dibenarkan pada setiap kali pasukan pemusing gagal memusing gasingnya di dalam bulatan permainan.
18.6. Pemangkah boleh ditukarganti dalam masa bergabus tetapi tidak dibenarkan penukaran pemangkah, jika masa bergabus tamat.

FASAL 19 – MEMUSING GASING


19.1. Pemusing diwajibkan masuk ke gelanggang serta-merta sebaik sahaja dipanggil oleh pengadil pertandingan. Pemusing sahaja yang berhak membawa gasing masuk ke dalam gelanggang; kecuali dibenarkan oleh pengadil, pemain lain boleh membawa gasing masuk ke gelanggang.
19.2. Pemusing hanya dibenar memusing gasingnya :-
i. 2 kali di Bahagian Haluan
ii. 3 kali di Bahagian Menekak
iii. 4 Kali di Bahagian Kemudi.
19.3. Pemusing boleh ditukarganti dan bilangan memusing tetap dikira seperti Fasal 19 di atas.
 19.4. Jika pemusing GAGAL memusing gasingnya di dalam bulatan yang ditentukan untuk :-
i. Bahagian Haluan (2 kali)
Pemangkah boleh memilih samada untuk memusing gasingnya atau bergabus bagi MENYIMPAN URINYA. Jika pemangkah memilih untuk memusing, pusingan gasing mestilah berada di dalam bulatan yang dikhaskan dengan satu kali pusingan sahaja.
ii. Bahagian Menekak (3 kali)
Sama di Bahagian Haluan di atas.
iii. Bahagian Kemudi (4 kali)
Pasukan pemangkah akan mendapat KEMENANGAN satu (1) embat PERCUMA dan pasukannya layak untuk memangkah lagi dalam nagam seterusnya.
19.5. Gasing yang dipusing di dalam bulatan yang dikhaskan sahaja yang boleh dibenarkan dipangkah oleh pemangkah.

19.6 Jika gasing yang dipusing itu berada dalam keadaan yang meragukan, sama ada di dalam atau di luar bulatan, dan pemusing telah diberi izin untuk dipangkah; pemangkah boleh memilih untuk memang-
kah atau tidak. Jika pemangkah MEMANGKAH gasing tersebut, pangkahan itu dikira SAH. Tetapi jika pemangkah tidak memangkah dalamasa yang diperuntukkan kepadanya, gasing pemusing tidak boleh dicokok dan kajian kedudukan PAKSI GASING pemusing hendaklah diputuskan oleh pengadil jika :-
i. Bahagian TAJAM PAKSI gasing TERKENA garisan bulatan, ianya dikira dalam bulatan dan pasukan pemusing tidak dibenarkan menyimpan urinya bagi pasukan pemusing akan naik memangkah.
ii. Bahagian TAJAM PAKSI gasing TIDAK TERKENA garisan bulatan, ianya dikira BERADA DI LUAR bulatan dan pasukan pemangkah dibenarkan bergabus atau memusing gasingnya untuk DISIMPAN URI bagi Bahagian Haluan atau Bahagian Menekak. Jika berlaku di Bahagian Kemudi, pasukan pemangkah akan dikira MENANG satu (1) embat dan boleh memangkah nagam seterusnya.
19.7 Setelah pemusing atau pembantunya memberi izin untuk dipangkah, kebenaran tersebut TIDAK BOLEH ditarik balik.
19.8. Jika mana-mana pemain daripada pasukan pemusing MENAHAN PEMANGKAH daripada memangkah gasing pasukannya yang telah diberi izin untuk dipangkah, maka pasukan pemusing DIPERSALAHKAN dan pasukan pemangkah akan DIBERI GANJARAN oleh pengadil :-
i. Pasukan pemangkah dibenarkan memusing atau bergabus untuk menyimpan uri bagi Bahagian Haluan atau Bahagian Menekak.
ii. Pasukan pemangkah akan diberi kemenangan percuma satu (1) embat dalam nagam tersebut dan akan terus memangkah lagi dalam nagam berikut.

19.9. Pemusing atau pembantunya boleh membuat SERGAHAN semasa pemangkah bergerak untuk memangkah; tetapi semua bahagian anggotanya mestilah TIDAK MENYENTUH atau melampaui garisan sergahan yang dikhaskan.
19.10. Gasing yang dipusing paksinya tersentuh bulatan yang dikhaskan dikira sah.
19.11. Pemusing hanya akan masuk ke dalam gelanggang serta-merta apabila pengadil memanggilnya selepas tamat masa bergabus atau setelah pemangkah puashati dengan gabusanya walaupun masa bergabus masih ada.
19.12. Pada masa satu-satu pusingan hendak dibuat, Cuma DUA (2) orang PEMAIN sahaja (pemusing dan pemangkah) DIBENARKAN BERADA di tempat memusing.


FASAL 20 – MEMANGKAH GASING


20.1. Pemangkah hanya BOLEH MEMANGKAH gasing pemusing apabila berada di dalam kawasan bulatan yang dikhaskan dan sesudah mendapat izin dengan UCAPAN “LOH-LAH” oleh pemusing atau pembantu pemusing.
20.2. Jangkamasa di antara pemusing atau pembantunya memberi izin untuk dipangkah oleh pemangkah tidak lebih daripada LIMA (5) SAAT.
20.3. Jika pemangkah mengambil masa lebih daripada lima (5) saat, maka pangkahannya dikira BATAL, pengadil dibolehkan MENIUP WISEL sebaik sahaja melebihi masa 5 saat.
20.4. Jika pemangkah dapat memangkah gasing pemusing SERENTAK dengan BUNYI WISEL pengadil, pangkahannya DIKIRA SAH.
20.5. Pembatalan pangkahan lebihmasa ialah :-

i. bagi Bahagian Haluan atau Bahagian Menekak, pasukan pemusing DIBENARKAN MENYIMPAN URI atau alek gasingnya.
ii. bagi Bahagian Kemudi, pasukan pemusing akan DIBERI NAIK dan LAYAK MEMANGKAH pada nagam seterusnya.
20.6. Satu-satu pangkahan dikira sesudah berlaku gasing pemangkah jatuh ke tanah.
20.7. Pangkahan DEBUS atau TIDAK KENA gasing pemusing, pusingan tersebut dikira BATAL :-
i. sama dengan Fasal 20.5 (i) dan 20.5 (ii)
20.8. Pemangkah boleh ditukarganti kepada pemangkah baru dalamasa bergabus atau pengadil belum memanggil pemusing keluar ke gelanggang. Gabusannya tidak akan ditambah.
20.9. Pemangkah tidak dibenarkan ditukarganti apabila tamat tempoh masa bergabus.
20.10. Jika berlaku KEMALANGAN kepada pemangkah sebaik sahaja masa bergabus tamat, pemangkah baru boleh menggantinya tetapi tidak layak untuk bergabus; kecuali apabila berlaku pemusing GAGAL memusing gasingnya.
20.11. Pemangkah dibenarkan bergabus pada setiap kali pemusing gagal memusing gasingnya.


FASAL 21 – GABUSAN GASING

21.1. Tidak dibenarkan sebarang GANGGUAN yang menyebabkan KESELAMATAN PEMAIN atau uri gasing mana-mana pasukan.
21.2. Jika berlaku sebarang gangguan, pengadil berhak mensabitkan KESALAHAN kepada pasukan berkenaan :-
i. Uri gasing pasukan lawan sahaja dibolehkan untuk disimpan pada Bahagian Haluan atau Bahagian Menekak.
ii. Jika berlaku sewaktu masa kemudi, KEMENANGAN diberikan kepada pasukan lawan (pasukan yang terkena gangguan) dengan kiraan satu (1) embat dalam nagam berkenaan. Pasukan yang menang berhak memangkah gasing pasukan lawan.
21.3. Jika GASING TERKENA PEMAIN pasukan lawan dengan tidak sengaja, kesalahan hanya dikenakan ke atas pemain berkenaan sahaja dan bukan kepada pasukannya.


FASAL 22 – PERTUKARAN TALI GASING

22.1 Pasukan pemusing dibolehkan MENUKAR TALI gasing pada setiap kali pusingan tetapi tidak melebihi had pusingan yang telah ditetapkan.
22.2 Pasukan pemangkah dibolehkan MENUKAR TALI gasing pada setiap kali gabusan, tetapi tidak melebihi had gabusan yang telah ditetapkan.
22.3 Pemangkah boleh bergabus pada setiap kali pemusing gagal memusing gasingnya.

FASAL 23 – BILANGAN GASING

23.1. Setiap pasukan dibenarkan MEMBAWA tidak lebih ENAM (6) BIJI gasing ( 2 biji pada setiap jenis saiz gasing) pada setiap perlawanan.
23.2. Hanya TIGA (3) biji gasing yang dibenarkan (1 biji pada setiap jenis saiz gasing) pada setiap perlawanan kepada setiap pasukan.
23.3. Gasing TIDAK BOLEH SAMA SAIZ (dua biji) bagi setiap nagam dalam mana-mana pasukan.
23.4. Kedua-dua pasukan dikehendaki membawa masuk ke dalam gelangganag TIDAK LEBIH TIGA (3) biji gasing terlebih dahulu, sebelum perlawanan dimulakan.
23.5. Sebarang PERTUKARAN SAIZ GASING boleh dilakukan oleh mana-mana pasukan apabila mendapat kebenaran
pengadil dan disaksikan oleh ketua atau wakil pasukan lawan sebelum nagam bermula.
23.6. Jika berlaku PASUKAN MENUKAR GASING tanpa kebenaran pengadil dan disahkan benar, permainan pada hari itu DIBATALKAN dan diberi KEMENANGAN PERCUMA kepada pasukan lawan.


FASAL 24 – KECACATAN GASING

24.1. Kecacatan gasing dibahagikan kepada dua :-
i. Kecacatan Sementara
Timah atau Paksi atau Bajang atau sebarang tambahan TERTANGGAL dari badan gasing dan boleh dibaiki. Ketua Pasukan dikehendaki melaporkan sebarang kerosakan dengan segera kepada pengadil. PEMBAIKIAN kerosakan hanya dibenarkan tidak lebih 10 MINIT.
ii. Kecacatan Kekal
Kayu gasing RETAK, SERPIH, PECAH atau berubah bentuk asal gasing dan tidak boleh dibaiki.
24.2. Jika kecacatan berlaku di dalam gelanggang sewaktu bergabus atau memusing, sebarang PEMBAIKIAN hanya dibenar di situ juga dan tidak melebihi had 10 MINIT.
24.3. Gasing yang mengalami kecacatan sahaja boleh dibawa keluar dari gelanggang dengan kebenaran pengadil dan boleh diganti dengan GASING SIMPANAN dengan saiz yang sama.
24.4. Semua gasing (pangkah atau pusing) yang telah berada di dalam gelanggang tidak boleh dibawa keluar sebelum pangkahan selesai, kecuali mendapat kebenaran pengadil.
24.5. Jika pengadil mengesahkan kesemua GASING PENGGANTI didapati CACAT KEKAL setelah bermain, maka kedua-dua saiz gasing daripada kedua-dua pasukan dikeluarkan dan permainan boleh diteruskan dengan DUA SAIZ gasing sahaja.
24.6. Jika gasing pengganti didapati kecacatan kekal oleh pengadil (dalam permainan gasing DUA SAIZ) maka gasing tersebut hendaklah dikeluarkan dan permainan boleh diteruskan dengan SATU SAIZ gasing sahaja.
24.7. Jika KETIGA-TIGA GASING pengganti didapati cacat kekal oleh pengadil, maka permainan pada hari itu ditamatkan dengan kiraan kemenangan pasukan yang telah mempunyai kelebihan embat tanpa mengambil kira pasukan mana yang mempunyai giliran memangkah.


FASAL – 25 MEMBELA URI ATAU ALEK GASING

25.1 Masa membela alek (membetul kedudukan gasing) di dalam kubu tidak melebihi 10 minit, bermula gasing terakhir dinaikkan ke atas pinggan selepas pangkahan untuk di bawa ke dalam kubu. Wisel akan ditiup oleh pengadil sebagai tanda masa 10 minit berakhir.
 25.2 Selepas TIUPAN WISEL oleh pengadil, sebarang pindaan kepada gasing di dalam kubu tidak dibenarkan lagi.
25.3 Tidak dibenarkan mana-mana orang, kecuali pengadil berada di dalam mana-mana kubu, antara kedua-dua pasukan sewaktu URI atau ALEK dipertandingkan sehingga wisel penamat dibunyikan.
25.4 Pengadil boleh memanggil wakil kedua-dua pasukan untuk berada di dalam mana-mana kubu sebagai pemerhati apabila diyakini saat-saat akhir uri atau alek akan berakhir.
25.5 Wisel akan ditiup oleh pengadil apabila gasing berhenti berpusing atau kehabisan uri sebagai tanda pasukan tersebut KALAH.
25.6 Garisan SEMPADAN KUBU antara kedua-dua pasukan hendaklah dibuat oleh pengadil atau wakil pasukan dengan kebenaran pengadil.

FASAL 26 – SORAKAN SEMASA BERLEGAI URI


26.1. Sorakan penyokong lawan tidak dibenar kepada gasing yang sedang berlegai uri dalam kubu pasukan pada jarak 15 kaki atau 4.5 meter dari kubu gasing atau jarak yang ditetapkan oleh pengadil.
26.2. Sorakan tidak boleh dilakukan di bahagian hadapan kubu lawan. Sebarang gangguan atau hentakan tanah atau sebarang gegaran kepada gasing pasukan lawan dilarang dilakukan oleh penyorak ataupun mana-mana orang.
26.3. Ketua-ketua atau wakil kedua-dua pasukan hendaklah memberi kerjasama kepada arahan pengadil berhubung larangan sorakan penyokong ataupun penonton pertandingan.
26.4. Pengadil akan meniup wisel seberapa nyaring tetapi pendek apabila didapati pusingan gasing telah mati.
26.5. Walaupun begitu, pihak PENGANJUR BERHAK membatalkan atau acara sorakan DITIADAKAN atau dibuang terus bagi penyokong kedua-dua pasukan mengikut kesesuaian permainan.


FASAL 27 – PENANGGUHAN PERMAINAN

27.1. Sesuatu perlawanan atau permainan boleh ditangguhkan jika berlaku :-
i. Ada KEMATIAN di dalam kampung pasukan yang terlibat dengan perlawanan atau di kampung tempat perlawanan diadakan. Ketua-Ketua Pasukan atau wakil pasukan hendaklah melaporkan kepada pihak penganjur perlawanan dan pasukan-pasukan yang terlibat TIDAK LEWAT JAM 7.30 PAGI pada hari perlawanan.
ii. BENCANA ALAM atau HUJAN LEBAT, akibatnya keadaan gelanggang tidak dapat digunakan,
pihak penganjur dikehendaki melaporkan kepada pihak-pihak terbabit dengan segera.
iii. BENCANA ALAM atau HUJAN LEBAT sewaktu perlawanan sedang berlangsung, pihak penganjur boleh memberhentikan permainan tersebut dan menunggu selama tidak lebih SATU JAM. Jika hujan masih berterusan selepas masa menunggu, permainan tersebut boleh dibatalkan oleh pengadil pertandingan. Perlawangan semula akan diadakan untuk pasukan-pasukan yang berkenaan TIGA HARI SEBELUM tarikh jadual perlawanan sediada.
iv. Sesuatu hal yang difikirkan oleh pihak penganjur patut ditangguhkan (kenduri perkahwinan keluarga terdekat dengan pemain), maka keputusan penganjur adalah MUKTAMAD. Makluman kepada pihak terlibat hendaklah dimaklum dengan segera.


FASAL 28 – PEMBERIAN EMBAT & MATA KEMENANGAN


28.1. Pasukan pemangkah yang menang dalam berlegai uri sahaja akan diberi kemenangan SATU EMBAT setiap pangkahan kemudi.
28.2. Pasukan yang mempunyai BILANGAN EMBAT terbanyak pada sesuatu perlawanan itu akan dikira sebagai pasukan yang menang dalam perlawanan pada hari itu. Tapi embat yang diperolehi pasukan kalah diambil kira untuk dihimpun ke dalam mata pasukan sepanjang penganjuran atau kejohanan berjalan sama dikira dengan pasukan yang menang (seperti 3-1, 3-2, 3-0 dan sebagainya) pengadil berhak memberi mata.
28.3. Jika berlaku kedudukan SERI antara kedua-dua pasukan yang telah memiliki kelebihan MATA NOBAT dikira pasukan itu lebih layak untuk dikira kea rah menang.
28.4. Mata- mata kemenangan akan diberi kepada pasukan setiap perlawanan :-
i. MENANG - 3 MATA
ii. SERI - 1 MATA
iii. KALAH - 0 MATA
28.5 Jika pasukan MENARIK DIRI daripada bermain atau ingkar arahan pengadil, pasukan itu dianggap KALAH dan MATA NOBAT hendaklah diberi kepada pasukan lawan pada hari permainan. Pihak penganjur berhak menentukan APA-APA TINDAKAN kepada pasukan yang didapati bersalah.
28.6 Pihak penganjur BERKUASA untuk MENGGANTUNG pasukan atau mana-mana pemain daripada menyertai BEBERAPA PUSINGAN atau TAHUN KEJOHANAN terhadap salahlaku pasukan atau pemain yang ingkar atau tidak mematuhi mana-mana klausa atau fasal di dalam undang-undang atau Peraturan Permainan Gasing Persatuan Gasing Komuniti Bestari Wakaf Chagak, Batu Rakit, Kuala Terengganu.



PERATURAN (V) –
PENGADIL


FASAL 29 – BILANGAN PENGADIL


29.1. Satu-satu perlawanan hendaklah dikelolakan oleh sekurang-kurangnya TIGA ORANG PENGADIL atau LIMA ORANG PENGADIL yang terdiri seorang pengadil sebagai KETUA dan DUA ORANG PEMBANTU, termasuk perlawanan bersiri.
29.2. Pembantu pengadil boleh dilantik di kalangan pemain-pemain pasukan yang terlibat pada hari perlawanan itu juga.

FASAL 30 – TUGAS PENGADIL


30.1. Pengadil hendaklah MEMERIKSA dan MENENTUKAN gasing-gasing yang akan digunakan dan MEMATUHI syarat permainan, sebelum sesuatu perlawanan dimulakan.
30.2. Menjalankan UNDIAN bagi menentukan pasukan mana yang layak memusing atau memangkah sebelum perlawanan dimulakan.
30.3. MENGESAHKAN pembahagian atau pembelahan gelanggang dengan sempurna dan mengumumkan KEPUTUSAN pemilihan gelanggang.
30.4. MENJAGA MASA perlawanan, masa bergabus, masa memangkah, masa membetul kedudukan uri di dalam kubu untuk Bahagian Kemudi, masa selangan di antara satu-satu bahagian dan MENENTU serta MENGUMUMKAN waktu rehat.
30.5. MENGAWAS dan MENGESAHKAN uri gasing sudah habis atau mati atau tamat pusingan gasing dalamasa perlawanan.
30.6. MEMERIKSA dan MENGESAHKAN sebarang kecacatan gasing dalamasa perlawanan terutama sebaik sahaja tamat satu-satu nagam.
30.7. MENGAWAS dan BERTANGGUNGJAWAB kepada keseluruhan perlawanan dari mula hingga tamat perlawanan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
30.8. Membuat KEPUTUSAN dengan ADIL dan SAKSAMA.
30.9. Membuat TEGURAN dan NASIHAT kepada pemain-pemain dengan bijaksana.
30.10. MEMBANTU Ketua Pengadil dalam sesuatu hal mengenai aduan, pertelingkahan berbangkit supaya tindakan dan keputusan tidak lari dari segi peraturan permainan.
30.11. KEPUTUSAN pengadil adalah MUKTAMAD.

FASAL 31 – PERALATAN PENGADIL


31.1. Pada setiap perlawanan, pengadil hendaklah menyediakan atau menentukan bekalan peralatan berikut telah disediakan oleh pihak penganjur :-
i. Wisel - 3 unit
ii. Jam Dinding - 2 unit
iii. Jam Randik / Stop Watch - 2 unit
iv. Kertas Undian Pasukan - 1 set
v. Pita / Tali Pengukur - 2 set
vi. Kapur Tulis / Marker - 2 batang
vii. Debu Gandum - 2 kilogram
viii. Pembesar Suara / Hiler - 2 set
ix. Papan Hitam / Whiteboard - 2 set
x. Kubu Gasing / Rumah Gasing - 8 set
xi. Kertas dan Fail
xii. Borang-borang berkaitan


FASAL 32 – PANDUAN KEPADA PENGADIL

32.1 BUNYIKAN WISEL bagi menandakan waktu perlawanan bermula dan jemput Ketua-Ketua Pasukan bawa masuk gasing 3 biji ke dalam gelanggang untuk diadu sebelum perlawanan bermula.
32.2 TIMBANG dan UKUR setiap gasing di dalam gelanggang. Ukuran diambil di Bahagian Tengah Tepi tubuh gasing. TENTUKAN tanda-tanda khas yang terdapat pada bahagian atas dan bawah setiap gasing dan catatkan.
32.3 Setelah kedua-dua pasukan PUASHATI dengan acara adu gasin, JALANKAN UNDIAN pasukan dengan melambung duit syiling atau kertas undian.
32.4 UMUMKAN KEPUTUSAN pasukan mana yang behak memangkah atau memusing dahulu.
32.5.1. Panggil Ketua Pasukan Pemangkah dahulu untuk MEMBELAH gelanggang. Kemudian panggil Ketua
32.6. Pasukan Pemusing untuk PILIH kawasan. Umumkan keputusan kedudukan kedua-dua pasukan.
32.7. Umumkan masa selama 15 MINIT untuk kedua-dua pasukan membuat persediaan KUBU. Dalam masa 5 MINIT terakhir panggil Ketua Pasukan Pemusing untuk membuat pertaruhan atau pertarungan gasing.
32.8. Bunyikan wisel apabila masa 15 minit tamat. Panggil pasukan pemangkah keluar untuk bergabus. Apabila pasukan pemangkah sudah berpuashati dengan gabusannya, walaupun belum mencecah masa sebenar. Tiupkan wisel tanda memanggil pasukan pemusing masuk ke gelanggang.
32.9. Pastikan setiap pasukan mempunyai tidak lebih 10 ORANG pemain di gelanggang, sebelum perlawangan dimulakan.
32.10. Sahkan dengan jelas isyarat keizinan untuk pangkah oleh pemusing atau pembantunya. Hidupkan JAM RANDIK dan tentukan pangkahan berlaku tidak lebih 5 SAAT. Matikan perjalanan jam randik bertepatan dengan hantukan gasing.
32.11. Wisel hendaklah dibunyikan jika berlaku pemangkah telah mengambil MASA LEBIH dari 5 saat sebagai tanda pangkahannya BATAL.
32.12. Selepas gasing-gasing di bawa ke dalam kubu masing-masing, tunggu selama 4 MINIT sebelum memulakan bahagian MENEKAK. Dan syarat-syarat berikut adalah berterusan kepada bahagian KEMUDI dan hingga tamat perlawanan pada hari itu.
32.13. Bahagian kemudi – hidupkan jam randik bagi masa membaiki gasing di dalam kubu selama tidak lebih 10 MINIT. Tentukan tidak ada sebarang pembetulan gasing selepas tamat tempoh 10 minit.
32.14. Pengadil atau pembantunya hendaklah berada di sekitar kubu gasing pada masa berlegai uri berjalan bagi menentukan tidak ada sebarang permbetulan kepada kubu berkenaan.
32.14. Bendera hendaklah dinaikkan sebaik sahaja dilihat gasing yang diawasinya mencecah pinggang dan NYARINGKAN tiupan wisel sebagai mengesah pusingan gasing sudah MATI.
32.15. Ketua Pengadil hendaklah berada di tengah-tengah antara kedua-dua kubu bagi memastikan wisel mana yang dahulu dibunyikan; sebagai tanda gasing pasukan berkenaan KALAH.
32.16. Umumkan pasukan mana mendapat kemenangan dan layak untuk memangkah pada nagam berikut. Periksa gasing-gasing kedua-dua pasukan sebelum memulakan nagam baru.
32.17. Syarat-syarat permainan di atas hendaklah DIIKUTI dan DIPATUHI.
32.18. Pengadil hendaklah pastikan setiap pusingan gasing berada di dalam bulatan sahaja yang boleh dipangkah.
32.19. Jika pengadil KURANG PASTI samada gasing pemusing RAGU-RAGU berada di dalam bulatan atau pihak pemusing atau pembantunya telah memberi IZIN untuk dipangkah, pemangkah boleh membuat pilihan untuk memangkah atau tidak tertakluk kepada :-
i. Jika pangkah berlaku, pangkahan itu dikira SAH.
ii. Jika pangkahan tidak berlaku, gasing pemusing boleh DICOKOK dan DISIMPAN uri. Pengadil dan Pembantu Pengadil hendaklah pastikan kedudukan paksi gasing pemusing betul-betul berada dalam bulatan atau terkena garisan bulatan pihak pemangkah dikira BATAL.
iii. Jika paksi gasing pemusing jelas berada di luar garisan bulatan, pihak pemusing dikira BATAL.
32.20. Pembatalan pangkah adalah seperti :-
i. Jika pemangkah dibatalkan di Bahagian Haluan dan Menekak, pemusing sahaja berhak menyimpan uri gasingnya. Manakala di Bahagian Kemudi, pemusing di benarkan untuk memangkah dalam nagam berikutnya.

32.21. Pembatalan pusing adalah seperti :-
i. Jika di Bahagian Haluan dan Menekak, pemangkah dibenarkan memusing atau bergabus gasingnya bagi menyimpan uri. Manakala di Bahagian Kemudi, pasukan pemangkah akan diberi MENANG PERCUMA SATU EMBAT dan boleh terus memangkah pada nagam berikutnya.


PERATURAN (VI) –
PERATURAN AM


FASAL 33 – KEPUTUSAN PENGADIL

33.1. Keputusan pengadil adalah MUKTAMAD. Setiap pasukan WAJIB PATUH.

FASAL 34 – TINDAKAN DISIPLIN

34.1. Mana-mana pasukan atau pemain yang tidak mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan, pihak terlibat BOLEH DIPERSALAHKAN, BATAL dan KALAH.
34.2. Pihak pesalah BOLEH DIKENAKAN tindakan disiplin ataupun apa-apa tindakan di bawah bidang kuasa pengadil atau penganjur.
34.3. Pihak penganjur BERHAK menggantung mana-mana pasukan atau mana-mana pemain yang didapati melanggar atau tidak dapat menerima KEPUTUSAN pengadil atau mana-mana mesyuarat jawatankuasa di pihak penganjur. Penggantungan pasukan atau pemain BOLEH diberi tidak lebih 5 TAHUN.


FASAL 35 – MENEPATI MASA


35.1 Mana-mana pasukan yang hadir ke gelanggang permainan selepas 8.00 PAGI tanpa sebarang sebab yang munasabah oleh pihak pengadil atau penganjur, pasukan berkenaan dikira KALAH pada hari itu. KEMENANGAN PERCUMA akan diberi kepada pasukan lawan yang hadir awal sebelum pasukannya.

FASAK 36 – KETATASUSULAAN

36.1. Mana-mana pemain yang membuat sebarang ANGKARA yang menyebabkan TERGANGGU perlawanan pada hari itu, apabila sabit kesalahan; maka pasukannya akan dikira BATAL dan KALAH atau pemain itu atau pasukannya boleh DIGANTUNG permainan seterusna pada musim itu atau pada musim akan datang.
36.2. Mana-mana pemain lawan TERKENA, TERPIJAK, TERSENTUH dengan SENGAJA atau tidak sengaja gasing pasukan lawan, maka pusingan atau pangkahan itu diberi KEMENANGAN serta-merta kepada pasukan yang gasingnya terkena pemain lawan.


FASAL 37 – BANTAHAN

37.1 Sebarang bantahan bertulis boleh dibuat melalui Ketua Pasukan masing-masing sahaja dengan penyertaan RM100.00 atau sama nilai wang pendaftaran pertandingan kepada pihak penganjur. Jika bantahan didapati betul, maka wang pertaruhan hendaklah dikembalikan kepada pembantah. Jika bantahan gagal dalam keputusan, wang pertaruhan tersebut diberi kepada pihak penganjur.
37.1. Surat bantahan hendaklah dihantar ke pihak penganjur tidak lewat jam 4.00 PETANG hari berikut (keesokan hari) selepas pertandingan.
37.2. Pihak penganjur hendaklah mengadakan MESYUARAT sebaik sahaja menerima surat bantahan bersama wang
pertaruhan RM100.00 atau sama nilai wang pendaftaran pertandingan tidak lewat 2 hari sebelum permainan berikut. Keputusan hendaklah dimaklum dengan surat kepada pasukan yang terlibat dengan segera, satu hari sebelum bermula pasukan pembantah terlibat dengan perlawanan berikut.


FASAL 38 – LARANGAN

38.1. Apa-apa bentuk KHURAFAT dilarang daripada ditonjolkan atau ditontonkan atau dibacakan atau dilafazkan secara kuat atau gerakan bibir; samada di dalam gelanggang atau diluar gelanggang atau di kawasan atau dalam kubu mana-mana pasukan.
38.2. Semua pasukan DILARANG menyediakan sesiapa sahaja yang boleh disifatkan sebagai PENUNGGU KUBU atau penunggu gelanggang dalam masa permainan berlangsung.
38.3. Mana-mana pasukan TELAH MELAKUKAN perkara yang boleh dianggapkan KHURAFAT, pihak pengadil atau penganjur berhak membuat keputusan. Keputusannya adalah MUKTAMAD tanpa sebarang rayuan.
38.4. Tidak dibenarkan mana-mana pemain MEMBAIKI gelanggang, kecuali dengan izin pengadil. Setiap pembaikian gelanggang boleh menggunakan sebarang jenis peralatan yang sesuai (seperti cokok, cangkul, penukul dll.). Penggunaan tangan dilarang sama sekali.

FASAL 39 – PINDAAN

39.1. Pihak penganjur boleh meminda sebarang FASAL dari masa ke masa dengan persetujuan pengadil, Ketua-Ketua Pasukan atau wakil pasukan yang akan menyertai pertandingan (jika perlu).
39.2. Setiap pindaan hendaklah dibawa ke dalam MESYUARAT atau perbincangan sebelum sesuatu kejohanan bermula pada musim itu.

NASIHAT KEPADA PEMAIN-PEMAIN


1. Pemain-pemain hendaklah menyediakan gasing, tali dan lain-lain kelengkapan yang diperlukan dengan sebaik mungkin.
2. Pemain hendaklah mematuhi setiap arahan Pengadil atau Pembantu Pengadil atau Ketua Pasukan.
3. Pemain hendaklah patuh kepada setiap keputusan Pengadil atau Penganjur.
4. Pemain hendaklah faham segala peraturan dan syarat-syarat permainan gasing.
5. Pemain hendakalah sentiasa berdisiplin, menepati masa, menepati garis panduan, bersikap tolak ansur di kalangan mereka, sentiasa sabar tidak emosi dalam sebarang tindak-tanduk sewaktu berada dalam permainan atau persekitaran permainan walaupun pada hari pasukannya tidak bermain.
6. Semua Ketua Pasukan dan Timbalannya dengan sendiri menduduki sebagai salah seorang Ahli Jawatankuasa Keselamatan dalam penganjuran pertandingan bagi membantu pengadil dan pihak penganjur.


DISUSUNTAIP OLEH :

MOHAMAD BIN ABDULLAH
PENGERUSI